Atlet gimnastik artistik negara, Chau Jern Rong, enggan terus dibelenggu masalah kecederaan yang menjejaskan pencapaiannya sepanjang tahun ini.

Ia bagi memastikan persiapannya ke Sukan Sea 2019 di Manila, Filipina, tidak terbantut.

Jern Rong mengalami kecederaan pada pergelangan tangan kiri Jun lalu sehingga terpaksa melupakan beberapa kejohanan di luar negara seperti Terbuka Singapura.

Tiada pencapaian di peringkat tertinggi yang diraihnya tahun ini.

Dia sekadar meduduki kelompok 10 terbaik dalam acara berpasukan Sukan Asia Indonesia, Ogos lalu.

Ternyata, ia bukan keputusan yang memuaskan dan dia kini meletakkan keutamaan untuk memastikan pencapaian cemerlang dalam temasya di Manila itu.

"Saya sepatutnya menyertai Terbuka Singapura, Jun lalu.

"Namun saya tidak dapat menyertainya kerana dilanda kecederaan

"Saya kini masih dalam proses pemulihan walaupun masih bergelut dalam beberapa acara," katanya.

Jern Rong menyifatkan persiapan tahun ini cukup berbeza berbanding tahun-tahun terdahulu memandangkan dia langsung tidak dihantar berlatih di luar negara.

Dia berharap Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF) dan Majlis Sukan Negara (MSN) dapat mempertimbangkan program latihan lebih baik buat dirinya sepanjang tahun depan.

"Banyak kejohanan yang akan berlangsung di luar negara tahun depan.

"Berdasarkan perancangan, kami akan menjalani latihan di China dan Jepun," tambahnya.