Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) membatalkan kejohanan tinju kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020 di Wuhan, China, minggu depan ekoran penularan wabak coronavirus dan keputusan itu melegakan wakil tunggal negara, Jemise Wong.

IOC membatalkan kejohanan kelayakan tinju di Wuhan itu yang sepatutnya bermula 3 Februari ini dan sedang memilih venue lain sebagai ganti.

Keputusan itu tepat memandangkan puluhan rakyat China meninggal dunia ekoran jangkitan coronavirus sehingga mengundang kebimbangan mengenai soal keselamatan atlet dan pegawai yang sepatutnya beraksi di Wuhan.

"Saya bukannya dalam program (latihan di sana), jadi saya tidak kisah seandainya persatuan membatalkan penyertaan saya.

"Saya cuba menguji kemampuan untuk layak ke Sukan Olimpik, siapa tahu (mungkin rezeki saya)?

"Peninju mana yang akan dihantar sekalipun, kami akan cuba yang terbaik," katanya ketika dihubungi hari ini.

Ia cukup melegakan wakil tunggal negara itu yang sepatutnya berlepas ke sana minggu depan.

Persatuan Tinju Amatur Malaysia (PTAM) pula merancang jumlah peninju lebih ramai dalam kejohanan kelayakan terakhir di Uzbekistan, Mei depan.

Kali terakhir peninju negara layak ke Sukan Olimpik ialah menerusi Sapok Biki dalam temasya di Atlanta pada 1996.



Editor: Shaiful Shamsudin