Persembahan cemerlang dalam temasya KL2017 menyaksikan atlet terjun, Jellson Jabilin, dan Koi Sie Yan daripada sukan gimrama dipilih selaku Olahragawan dan Olahragawati Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) 2017.

Dua pingat emas yang diraih Jellson dalam Sukan SEA 2017 merupakan antara pencapaian terbaik dalam kariernya setakat ini.

Malah, usianya yang baru mencecah 16 tahun juga pastinya menjanjikan lebih banyak kejayaan di peringkat lebih tinggi.

Jellson dipilih sebagai Olahragawan SSBJ 2017 selepas mengatasi empat lagi calon, iaitu Gabriel Gilbert Daim serta Hanis Nazirul Jaya Suria, masing-masing daripada sukan terjun serta atlet wusyu, Tan Cheong Wan, di samping Muhamad Nazri Mustafa bagi sukan olahraga.

"Pesaing-pesaing saya yang lain pun memenangi medal dalam Sukan SEA.

"Tahun lepas, saya tidak memenangi sebarang pingat dan sangat gembira dapat melakukannya pada tahun ini," kata Jellson dalam Majlis Anugerah Gemilang SSBJ 2017 yang dilangsungkan hari ini bagi meraikan pencapaian penuntutnya, sama ada daripada aspek akademik mahupun sukan.

Sementara itu, Sie Yan mengetepikan beberapa pencabar utama, termasuk rakan sepasukan, Izzah Amzan di samping atlet baling tukul besi, Grace Wong, untuk dipilih sebagai Olahragawati SSBJ 2017.

Empat emas dalam Sukan SEA meletakkan Sie Yan dalam kelas tersendiri selain menjadi gimnas pertama untuk mempertahankan emas acara keseluruhan individu.

"Saya berasa sangat gembira dan bangga untuk meraih anugerah ini.

"Saya akan berusaha dan berlatih lebih kuat demi pencapaian lebih gemilang pada masa akan datang.

"Kami semakin gigih dan akan berlatih di luar negara, Januari nanti," ujarnya.

Pemain skuasy remaja negara, Siow Yee Xian, meraih anugerah atlet keseluruhan selepas tampil menyerlah dalam pembelajaran di samping meraih kejayaan dalam beberapa pertandingan peringkat antarabangsa tahun ini.