Pasukan berbasikal lebuh raya negara membuat kejutan dalam saingan peringkat pertama Jelajah Semenanjung apabila Muhammad Daniel Haikkal Edy Suhaidee, berjaya meraih jersi putih.

Peringkat pertama Jelajah Semenanjung dari Dungun ke Kuala Terengganu dijangka untuk dikuasai tempat pertama dan kedua ranking Jelajah Asia Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI), iaitu Terengganu Cycling Team (TSG) dan Team Sapura Cycling (TSC).

Bagaimanapun, pelumba basikal lebuh raya negara, Daniel Haikkal, memberi kejutan apabila menunjukkan kewibawaan pasukan negara dengan meraih jersi putih selaku pelumba terbaik Asia.

"Ini merupakan kemenangan yang diimpikan dan ia akan dijadikan sebagai pemangkin untuk meraih lebih banyak kemenangan selepas ini," katanya,

Jurulatih skuad berbasikal lebuhr aya negara, Yusof Abdul Nasir, cukup berbangga dengan prestasi skuad kendaliannya dalam peringkat pertama itu apabila memberinya sinar harapan menjelang Sukan SEA Filipina bulan depan.

"Saya telah menasihatkan kepada setiap pelumba negara walaupun sekadar bergelar wakil negara, tidak mustahil buat kami untuk memberikan cabaran kepada pasukan yang bertaraf profesional," kata Yusof.

Kejayaan Daniel tidak terhenti dengan jersi putih, malah pelumba negara itu turut menunjukkan kebolehannya apabila mendapat kedudukan ketiga bagi jersi kuning dengan mencatat masa 3 jam 57 minit 22 saat.