Terengganu Cycling Team (TSG) mencipta sejarah apabila pelumba mereka, Nur Amirul Fakhruddin Mazuki, menyambar tiga jersi utama dalam perlumbaan peringkat ketiga Jelajah Semenanjung dari Kuantan ke Karak hari ini.

Pasukan itu, yang kurang menyerlah dalam dua perlumbaan peringkat awal, mula menunjukkan taring sebenar apabila Nur Amirul Fakhruddin muncul pemenang jersi kuning (pendahulu keseluruhan), biru (raja pecut) dan putih (pelumba terbaik Asia).

Pada 70 kilometer terakhir menuju ke garisan penamat, Nur Amirul Fakhruddin melakukan kejutan dengan melakukan pemecahan sebelum menjuarai peringkat berkenaan.

"Kami melakukan strategi untuk menunggu dahulu dan pada 50 hingga 40 kilometer terakhir, barulah kami melakukan henjutan sehingga ke garisan penamat," katanya.

Jurulatih TSG, Jeremy Khan, turut meluahkan rasa bangganya terhadap pencapaian itu.

"Kerana ia perlumbaan yang sukar dan kami tidak tahu apa yang akan berlaku, jadi saya memberitahu pelumba supaya mengikut pergerakan dan cuba melakukan sesuatu.

"Kemudian kami melihat apa yang akan berlaku dalam perlumbaan," katanya.

Nur Amirul Fakhruddin menamatkan peringkat ketiga dengan catatan masa 3 jam 49 minit 59 saat untuk memungut 44 mata.

Sementara itu, jersi merah (raja bukit) bertukar pemilik apabila Aiman Cahyadi (PNG Cycling Team) mengungguli zon pendakian yang berkecerunan 4.99 meter.

Aiman, yang meraih jersi merah dalam perlumbaan peringkat pertama, kelihatan kepenatan di peringkat kedua, namun bangkit untuk kembali merampas jersi itu hari ini.

"Saya berusaha sebaik mungkin dan selebihnya diuruskan Yang Di Atas.

"Syukur Alhamdulillah.

"Untuk esok, saya harus yakin dan Insya Allah, saya boleh," katanya.

Seterusnya, peringkat keempat akan meliputi perlumbaan sejauh 89.5 kilometer dari Sungai Koyan ke Cameron Highlands.