Jelajah Semenanjung: Garcia muncul juara edisi sulung

Oleh Penulis Jemputan 19 Oktober 2019 10
Jelajah Semenanjung: Garcia muncul juara edisi sulung
Pelumba Kinan Cycling Team, Marcos Garcia Fernandez, menjuarai edisi sulung Jelajah Semenanjung apabila meraih jersi kuning dalam peringkat terakhir perlumbaan dari Kuala Lipis ke Setiawangsa hari ini.

Pelumba kelahiran Sepanyol itu mula menunjukkan taring ketika peringkat keempat dari Sungai Koyan ke Cameron Highlands apabila berjaya meraih jersi kuning semalam.

Perancangan pasukannya menjadi kenyataan apabila Fernandez mengekalkan jersi tersebut dengan mencatat masa 16 jam 59 minit 7 saat untuk perlumbaan lima peringkat ini.

Pelumba berusia 32 itu turut berjaya meraih jersi merah apabila mengutip 37 mata dalam dua zon pendakian peringkat terakhir itu.

"Satu perlumbaan yang rumit dan peringkat yang sukar. Semua pelumba berusaha untuk menamatkan perlumbaan dengan pantas tetapi dengan kerjasama sepasukan yang baik, kami berjaya mengawal rentak saingan," kata Garcia.

"Saya sangat gembira menjadi juara Jelajah Semenanjung yang pertama, saya berharap untuk kembali tahun depan dan mempertahankan gelaran ini tetapi ia bergantung kepada pasukan."

Sementara itu, jersi putih pula diraih pelumba Vino-Astana Motors, Igor Chzan, manakala jersi biru milik pelumba Protouch Cycling Team, Rohan Du Plooy, dengan 58 mata.

"Saya sangat teruja kerana memenangi jersi putih. Saya juga berterima kasih kepada semua penyokong di Malaysia. Saya sangat gembira," kata Chzan.

Sementara itu, pasukan Malaysia mempamerkan aksi yang baik dalam peringkat terakhir apabila berjaya meraih tempat ketiga melalui pelumba kebangsaan, Sofian Nabil Omar Mohammad Bakri.

Sofian antara yang berjaya melakukan pemecahan daripada peloton apabila dia menguasai zon pendakian kedua di Genting Sempah.

Namun, terdapat kesalahan kecil pada 2 kilometer terakhir perlumbaan yang menyaksikan Sofian sekadar meraih tempat ketiga bagi peringkat kelima itu.

"Saya bersyukur dengan kejayaan ini. Setiap perancangan berhasil tetapi terdapat kesalahan yang dilakukan pada penghujung saingan, menyaksikan saya sekadar di tempat ketiga," kata Sofian.
 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen