Jelajah Selangor: TSC muncul juara keseluruhan

Oleh Bernama 22 Disember 2019 88
Jelajah Selangor: TSC muncul juara keseluruhan
Pasukan tempatan, Team Sapura Cycling (TSC), muncul juara keseluruhan Kejohanan Berbasikal Jelajah Selangor yang melabuhkan tirai hari ini dengan catatan masa keseluruhan 46 jam 47 minit dan 46 saat.

Tempat kedua pula menjadi milik pasukan berpangkalan di Vietnam, Bikelife Dong Nai, dengan catatan masa 46:56:18s manakala kedudukan ketiga keseluruhan menjadi milik satu lagi pasukan tempatan, Terengganu Inc TSG Cycling Team (TSG) dengan masa 47:4:9s.

Hadiah disampaikan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Pelumba TSC, Marcus Culey, pula muncul pemenang jersi kuning apabila menjadi pelumba terbaik dengan catatan masa keseluruhan 15:24:13s, serta muncul sebagai raja pecut dan raja bukit dalam kejohanan yang dianjurkan buat kali kedua itu.

Seorang lagi pelumba TSC, Muhamad Nur Aiman Mohd Zariff, menang jersi putih setelah dinobat sebagai pelumba muda terbaik.

Perlumbaan peringkat akhir dari Klang ke Shah Alam hari ini dimenangi pelumba adik-beradik dari TSG, Mohd Harrif Saleh dan Mohd Zamri Saleh, manakala tempat ketiga menjadi milik pelumba PGN Road Cycling Team, Shafrifat Nandamulya.

-- BERNAMA

Tentang Penulis

Bernama

Komen