Pelumba Sapura Cycling Team (TSC), Marcus Culey, hanya selangkah daripada mengesahkan gelaran juara keseluruhan Kejohanan Berbasikal Siri Jelajah Selangor Edisi Kedua selepas mengungguli empat daripada lima peringkat saingan.

Culey, yang bermula cemerlang selepas pendakian pertama perlumbaan, mengekalkan momentum dengan mencatat 3'16: 57 saat di laluan dari Selayang ke Sungai Besar itu hari ini.

Pelumba dari Australia itu menghadapi saingan sengit rakan sepasukan, Robin Christofer Jurado Lopez, diikuti Shotaro Watanabe yang mewakili Aisan Racing Team memenangi tempat ketiga.

Dalam perlumbaan dua zon pendakian serta dua zon pecut peringkat keempat itu, Culey mengekalkan tiga warna jersi polka dot, hijau dan kuning sementara jersi putih dimiliki Muhamad Nur Aiman Mohd Zariff daripada Terengganu Cycling Team (TSG).

Dalam pada itu, pelumba Malaysia, Sofian Nabil Omar, yang mewakili Amskins Racing Club menamatkan perlumbaan di tempat kelima dengan catatan masa 3'19: 29s.

Peringkat akhir perlumbaan esok melibatkan laluan dari Klang ke Shah Alam.