Jelajah Selangor: Culey semakin sukar digugat

Oleh Penulis Jemputan 20 Disember 2019 56
Jelajah Selangor: Culey semakin sukar digugat
Pelumba Team Sapura Cycling (TSC), Marcus Culey, dijangka mengungguli Kejohanan Berbasikal Jelajah Selangor 2019 selepas mencatat kemenangan dalam peringkat ketiga hari ini. 

Sementara itu, juara bertahan terpaksa akur menerima cabaran lebih sengit dalam edisi kedua itu. 

Dengan perbezaan 7 minit dan 07 saat meninggalkan pelumba yang lain, Culey meletakkan tekanan kepada barisan seterunya untuk memintas catatan masa yang dimilikinya.

Pelumba berusia 26 tahun berkenaan turut mengakui sudah berada di kedudukan selesa dalam memburu gelaran juara keseluruhan.

"Saya agak yakin mampu mempertahankan kedudukan tetapi saya tidak fikir akan memenangi mana-mana peringkat lagi. 

"Kita tengoklah kelak, bergantung kepada tahap prestasi rakan sepasukan juga," katanya.

Saingan kali ini menjadi platform buat pelumba kelahiran Australia tersebut sebelum menghadapi kejohanan kebangsaan di negaranya. 

Culey mencatat kemenangan hatrik untuk mengekalkan jersi kuning dalam peringkat ketiga dari Cyberjaya ke Bukit Jugra dengan catatan masa 2'2:08s.

"Saya akan menghadapi kejohanan lain lagi dalam tempoh beberapa minggu lagi. 

"Saya masih bertenaga sejak dua hari lalu, saya gembira dapat mengekalkan kesemua jersi untuk pasukan. 

"Ia satu minggu yang baik buat kejohanan ini," katanya. 

Sementara itu, seorang lagi pelumba TSC, Muhammad Zawawi Azman, mengakui menerima cabaran lebih sengit dalam misi mempertahankan kejuaraan apabila akhirnya meraih tempat ketiga dalam peringkat ketiga itu dengan catatan 2'2:18s.

"Pada awalnya, saya bermotivasi tinggi untuk meraih gelaran juara keseluruhan seperti dua tahun lalu. 

"Tetapi saya menghadapi masalah basikal di peringkat pertama sehingga kerap memaksa saya menukar basikal lalu menyebabkan saya banyak terlepas dalam pecahan kelompok pelumba di hadapan.

"Jadi, ada jurang yang besar sejak peringkat pertama. 

"Saya cuba membantu Culey mengekalkan kedudukan sebagai pendahulu selain mengintai peluang untuk mendapatkan podium," katanya.

Dalam masa yang sama, pelumba berusia 25 tahun itu menjelaskan masih dibelenggu kepenatan selepas pulang daripada Sukan SEA Filipina 2019.

Zawawi terpaksa akur perlu melepaskan gelaran juara apabila rakan sepasukannya itu sudah menjuarai tiga peringkat berturut-turut.

"Kalau boleh, saya mahu mendapatkan podium bagi baki dua peringkat lagi. 

"Jika tidak, saya akan pastikan matlamat utama pasukan, iaitu mengekalkan Culey sebagai pendahulu tercapai."
 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen