Pelumba Team Sapura Cycling (TSC), Marcus Culey, bertekad mengekalkan prestasinya selepas mengungguli tiga jersi dalam peringkat pertama yang merupakan laluan terpanjang dalam saingan Jelajah Selangor hari ini.

Penampilan pertama Hafizh Syahrin Abdullah dalam jelajah itu pula, bagaimanapun, hambar ekoran masalah teknikal.

Culey mencatat 4 jam 6 minit 55 saat untuk menyarung jersi kuning, sekali gus mengungguli ketiga-tiga zon pendakian sebelum dinobatkan raja bukit dan raja pecut dalam perlumbaan peringkat pertama itu.

Pelumba berusia 26 tahun kelahiran Australia itu mengakui laluan bermula dari Pulau Indah hingga ke Batang Kali dengan jarak keseluruhan 176.9 kilometer itu adalah cabaran yang sukar.

"Saya menjalani persiapan di Melbourne minggu lalu dengan baik.

"Jadi, saya fikir saya boleh melakukannya di sini dengan bantuan angin.

"Terdapat beberapa kumpulan pelumba yang saling bersaing tetapi sebaik kami berpecah kepada lima pelumba di depan dalam baki jarak kira-kira 80km, saya bertambah yakin," katanya.

Pengurus pasukan TSC, Sayuti Mohd Zahit, menganggap skuad kendaliannya itu belum dalam zon selesa biarpun menyapu empat gelaran jersi dalam peringkat pertama.

Rakan sepasukan Culey, Muhamad Nur Aiman Mohd Zariff, melengkapkan gelaran keempat apabila menyarung jersi putih, iaitu pelumba muda terbaik.

"Kami tidak boleh terlalu yakin kerana macam-macam boleh berlaku dalam perlumbaan.

"Kami mengikuti perancangan dan jurang dua minit itu agak besar, jadi kami akan cuba terus mengekalkan jersi kuning dan yang lain," katanya.

Sementara itu, pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Muhamad Afiq Huznie Othman, pula berpuas hati selepas menamatkan saingan di kedudukan keempat dengan catatan 4'11:06s.

Baginya, dia perlu memperbaiki kelemahannya dalam peringkat kedua yang membabitkan jarak keseluruhan lebih rendah bagi memastikan podium dalam saingan jelajah edisi kedua itu.

"Saya cuba dapatkan keputusan terbaik, iaitu setidak-tidaknya kelompok tiga pelumba terbaik.

"Namun, dalam beberapa kilometer terakhir, saya benar-benar sudah keletihan kerana berkayuh secara solo sejak 30km pertama dan Alhamdulillah dapat habiskan laluan hari ini," kata Afiq Huznie.

Hafizh Syahrin, yang buat julung kalinya menyertai jelajah berbasikal terpaksa menarik diri di kilometer ke-50 ekoran masalah teknikal pada basikalnya.

Selain itu, pelumba MotoGP yang dikenali sebagai El-Pescao itu mahu membuat persiapan lebih awal sebelum beraksi dalam saingan jelajah seterusnya.

"Perlumbaan hari ini agak mencabar bagi saya memandangkan saya tidak membuat persiapan.

"Lagipun, gear saya asyik melompat sahaja apabila melalui jalan yang tidak rata.

"Memang susah untuk saya mengikuti kelompok hadapan sehingga memaksa saya untuk menarik diri," katanya.