Pemain skuasy wanita negara, Low Wee Wern, meneruskan kecemerlangan di arena antarabangsa dengan merangkul gelaran Jelajah Persatuan Skuasy Profesional (PSA) bagi kali keempat dalam Kejohanan Skuasy Terbuka Queensland 2018 di Gold Coast, Australia, tengah malam tadi.

Wee Wern, 28, membuktikan bahawa sentuhannya masih berbisa dengan mengambil masa hanya 24 minit untuk menundukkan pemain nombor 77 dunia, Jessica Turnball dari Australia, 11-6, 11-5, 11-6 dalam aksi final di Pusat Skuasy Carrara, Gold Coast.

Bekas pemain nombor lima dunia itu sebelum ini terpaksa berehat selama 20 bulan kerana kecederaan lutut serius.

Ini merupakan kemenangan ketiga Wee Wern di bumi Australia tahun ini selepas menawan Terbuka Tasmania dan juga Terbuka Australia selain Terbuka Malaysia pada Julai lalu.

"Ini merupakan kejohanan ketiga berturut-turut di Australia yang saya sertai dengan melakar tiga kemenangan.

"Prestasi saya ada kalanya turun dan naik, saya beraksi dengan baik dalam beberapa perlawanan tetapi dalam sesetengah perlawanan, saya terpaksa berhempas untuk mencari rentak.

"Jadi, keadaan berbeza ketika ini tetapi saya tidak boleh memberi alasan tidak beraksi selama 20 bulan dan tidak benar-benar mengetahui apa yang dijangka,” Wee Wern dipetik sebagai berkata dalam laman sesawang skuasy Queensland:www.qld.squash.org.au.

"Saya menyasarkan sehingga tangga ke-54 (dunia) bulan ini dengan tiga kejohanan lagi dalam kalendar saya.

"Saya akan beraksi dalam Terbuka Queensland untuk meraih lebih banyak mata ranking dalam usaha melonjak ke kelompok 50 teratas dunia," kata pemain kelahiran Pulau Pinang itu.

-- BERNAMA

Kredit imej: PSA World Tour