Jelajah Malaysia: Pelumba tempatan mula pasang hajat lebih besar 

Oleh Penulis Jemputan 26 September 2017 55
 Jelajah Malaysia: Pelumba tempatan mula pasang hajat lebih besar 
Gandingan pelumba tempatan dan luar negara menjadi taruhan buat pasukan berbasikal Sapura (TSC) dalam menghadapi perlumbaan Jelajah Malaysia 2017 dari 3 hingga 7 Oktober depan. 

TSC yang baru ditubuhkan awal tahun ini mempertaruhkan beberapa pelumba luar negara seperti Jahir Perez dan Victor Nino dari Colombia. 

Untuk rekod, Perez menduduki tangga kedua kategori raja bukit dalam saingan Le Tour de Langkawi (LTdL) tahun ini. 

Sementara itu, pelumba tempatan yang bakal menjadi sandaran termasuk Muhammad Zawawi Azman, Sofian Nabil, Izzat Hilmi Abdul Halil serta Akmal Hakim Zakaria. 

Menurut Izzat, persiapan rapi termasuk kem latihan selama dua bulan di Sepanyol banyak membantu pasukan TSC membentuk persefahaman lebih baik bersama pelumba import. 

Antara pencapaian terbaik Izzat tahun ini termasuk memperolehi jersi hijau di dua peringkat Jelajah Molvccas, minggu lalu. 

"Perlumbaan di sana sangat berbeza dengan di sini. 

"Laluan di sana bukan sekadar berbukit, malah seperti gunung. Ia sangat mencabar dari segi perlumbaan dan latihan. 

"Secara peribadi, saya mahukan jersi hijau. Kami semua sudah bersedia," ujar Izzat. 

Dalam masa sama, Akmal Hakim ingin memastikan penyertaan pasukan TSC dalam saingan Jelajah Malaysia kali ini bukan hanya sebagai pelengkap pasukan. 

Sebaliknya, dia yang akan berlumba dalam Jelajah Malaysia buat kali ketiga, yakin TSC mampu memberi cabaran meskipun saingan dalam kalangan pasukan tempatan sekali lagi menjadikan Terengganu Cycling Team (TSG) sebagai pilihan. 

"Persiapan kami agak baik tahun ini. Kami telah menjalani latihan di Sepanyol selama dua bulan lebih. 

"Selepas itu, kami mengikuti beberapa perlumbaan. Saya harap dapat memberikan aksi yang terbaik dan melakukan sesuatu untuk menaiki podium," katanya. 

 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen