Jelajah Malaysia: Pelumba negara jadi tumpuan 

Oleh Penulis Jemputan 7 Oktober 2017 154
 Jelajah Malaysia: Pelumba negara jadi tumpuan 
Pelumba Olivers Real Food Racing, Brendon Davids, berazam kembali mempertahankan kejuaraan tahun depan apabila mengesahkan memenangi jersi kuning juara keseluruhan Jelajah Malaysia 2017, hari ini. 

Ia kejayaan sulungnya dalam kalendar Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI). 

Pelumba kelahiran Afrika Selatan itu menamatkan perlumbaan dalam kelompok besar mengelilingi Alor Setar, Kedah, sejauh 132.8km dengan catatan 3 jam 8 minit 7 saat.

Secara keseluruhan, Davids mengumpul catatan 16j 34:16s, kelebihan 24 saat berbanding pencabar terdekat, Victor Nino Corredor dari Team Sapura Cycling (TSC). 

"Ia pencapaian besar dalam karier saya. Saya harap kejayaan ini melonjakkan saya dan pasukan ini," kata Davids. 

Tiga pelumba melakukan pemecahan kelompok selepas zon pecutan pertama di Jitra yang dikuasai pelumba kebangsaan, Mohd Ameer Ahmad Kamal. 

Baki zon pendakian dan dua pecutan kemudian ditakluki pelumba KFC Cycling Team, Mohd Imam Ariffin, sebelum peloton berjaya menghambatnya ketika saingan berbaki 2km terakhir. 

Pakar pecut Terengganu Cycling Team (TSG), Mohd Harrif Salleh, kemudian melakukan henjutan terakhir untuk muncul juara, sekaligus kejayaan hatrik pasukannya. 

Apa yang menarik, edisi ke-53 mencatat kejayaan besar untuk pelumba tempatan. 

Pelumba TSG, Nur Amirul Fakruddin Mazuki, dinobatkan penyarung jersi hijau raja pecut sementara pelumba TSC, Muhammad Zawawi Azman, meraih jersi merah pelumba terbaik Malaysia. 

"Alhamdulillah saya dapat mengekalkan jersi hijau raja pecut. Kejayaan ini menjadi pemangkin semangat untuk saya menghadapi siri jelajah akan datang. 

"Sebelum ini saya hanya meraih kemenangan di peringkat domestik. Selepas ini, saya lebih yakin untuk memainkan peranan dalam zon pecutan," kata Amirul. 

Kegembiraan itu turut dikongsi Zawawi yang berpendapat: "Kejayaan ini sangat besar buat saya. 

"Sebenarnya, saya menyasarkan podium sahaja, sebaliknya saya memenangi jersi merah. 

"Saya harap ia menjadi motivasi buat saya."

TSC pula muncul pasukan terbaik biarpun baru sembilan bulan ditubuhkan. 
 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen