Keputusan pelumba Polis Diraja Malaysia (PDRM), Muhammad Fauzan Ahmad Lutfi, yang mempertimbangkan semula persaraan daripada peringkat antarabangsa nyata berbaloi apabila muncul selaku naib juara peringkat ketiga Jelajah Malaysia 2017, sekaligus mencatat pencapaian terbaik pelumba tempatan.

Fauzan masih lagi pelumba terbaik di Malaysia walaupun menangguhkan persaraan peringkat antarabangsa pada usia 31 tahun.

Dia berjaya menyertai kelompok pemecahan ketika saingan awal dari Kuala Kangsar, Perak, ke Kulim, Kedah, yang membabitkan pendakian mencabar di Bukit Sumpitan.

Pelumba kelahiran Pulau Pinang itu mengekalkan rentak kayuhan yang konsisten untuk melintasi garisan penamat selaku naib juara dengan catatan masa 2 jam 22 minit 15 saat, kurang dua minit daripada juara, Brendon Davids, dari pasukan Olivers Real Food Racing.

"Apa yang saya nampak, peringkat ini amat mencabar. Zon pendakian amat sukar. Pada awal perlumbaan sudah ada pemecahan, jadi saya agak ketinggalan di Bukit Sumpitan.

"Syukur saya dapat mengejar semula dalam 40 kilometer terakhir dan melihatnya sebagai peluang untuk saya mencuba berbekalkan kepakaran dalam ujian masa.

"Sememangnya sebelum ini saya menyatakan hasrat untuk bersara daripada skuad kebangsaan untuk memberikan perhatian penuh kepada PDRM,

"Jadi, ada pihak yang mendesak untuk saya kekal bersama pasukan negara bagi menghadapi Sukan Asia dan Sukan SEA akan datang dalam acara ujian masa," kata Fauzan.

"Kami berusaha keras untuk mengekalkan jersi kuning menjadi milik kami dan berjaya melakukannya," ujar Davids.

Peringkat ketiga jelas cukup mencabar buat 89 pelumba apabila membabitkan tiga zon pecutan serta dua pendakian.

Pecutan pertama di Lenggong dikuasai oleh pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Nur Amirul Fakhruddin Mazuki, namun 25 pelumba melakukan pemecahan selepas itu.

Davids menggunakan peluang itu untuk mendominasi baki dua pendakian dan dua pecutan sebelum melintasi garisan penamat secara solo.