Terengganu Cycling Team (TSG) tetap berbangga dengan Nur Amirul Fakhruddin Mazuki yang merangkul dua kejayaan dalam peringkat pertama Jelajah Malaysia 2017 walaupun kempunan jersi pendahulu keseluruhan berikutan dikenakan penalti.

Aksi dari Shah Alam, Selangor, ke Hutan Melintang, Perak sejauh 161.9km hari ini menyaksikan pelumba tempatan lebih mencuri tumpuan, terutama dengan mendominasi zon pecutan di Kuala Selangor, Sekinchan, dan Sungai Besar.

Ia sepatutnya menjadi hari gemilang buat Nur Amirul untuk menjuarai peringkat pertama Jelajah Malaysia yang merupakan kejayaan sulung dalam kariernya.

Begitupun, dia didakwa mengekori kereta pasukan terlalu lama untuk menukar tayar basikal pada awal perlumbaan dan secara tidak langsung memberi kelebihan buatnya terhadap rintangan angin.

Pelumba berusia 25 tahun itu dikenakan penalti 20 saat, sekaligus terlepas jersi kuning -- pendahulu keseluruhan walaupun menjuarai peringkat pertama dengan catatan 3 jam 52.46 saat.

"Ini sudah termaktub dalam peraturan, saya akur dengan kesalahan yang dilakukan.

"Mungkin selepas ini kami akan cuba menyelesaikan sendiri kalau berdepan masalah seperti tayar pancit," katanya.

Menurut pakar pecut TSG, Harrif Salleh, mereka bertekad untuk terus bekerja keras selepas ini dengan berkata: "Pasukan lain pasti akan memberikan saingan hebat."

Penalti Amirul itu menyaksikan pelumba KFC Cycling Team, Abdul Gani, dinobatkan penyarung jersi kuning apabila menamatkan perlumbaan di tangga kedua.

Pelumba dari Indonesia itu turut memenangi jersi polka dot selaku raja bukit.

"Saya tidak pasti kenapa jersi kuning ini diberikan kepada saya meskipun saya sendiri tidak pasti adakah menamatkan saingan di tempat kedua atau ketiga.

"Setakat ini, saya hanya diberitahu jersi kuning ini milik saya," katanya.

Sementara itu, pelumba Team Sapura Cycling (TSC), Muhammad Zawawi Azman, yang menyarung jersi merah -- pelumba terbaik Malaysia -- mempunyai misi penting apabila akan beraksi di depan penyokong sendiri dalam peringkat kedua, esok.

"Saya akan cuba memberikan henjutan terbaik, ini kali pertama perlumbaan ini masuk ke kampung saya. Justeru, saya bersemangat tinggi tak pernah masuk kampung saya. Saya akan cuba 100 peratus.

"Saya cuba mempertahankan jersi merah ini dan membantu pasukan meraih jersi kuning," katanya.

Perlumbaan esok akan bermula di Lumut dan berakhir di Kuala Kurau membabitkan kayuhan sejauh 145.03km di laluan landai. Tiga zon pecutan menanti pelumba di Pantai Remis, Trong dan Bagan Serai esok dan tidak menawarkan zon pendakian.