Jelajah Malaysia 2016: Arvin lebih berbisa di peringkat kedua

Oleh Staff Writer 19 Oktober 2016 3
Jelajah Malaysia 2016: Arvin lebih berbisa di peringkat kedua
Strategi sempurna oleh pasukan Pishgaman Giant menyaksikan mereka menguasai peringkat kedua perlumbaan Jelajah Malaysia 2016 dengan pelumbanya, Arvin Moazami Godarzi, muncul juara.

"Hari ini sangat sukar dan pasukan kami bekerja keras dari awal perlumbaan. Apabila kami dikejar, kami bertiga menambahkan lagi usaha. Ia sangat hebat," kata Arvin.

Peringkat kedua perlumbaan bermula dari Sungai Siput, Perak menuju ke Cameron Highlands meliputi jarak 113.4 km.

Pelepasan pelumba dilakukan tepat jam 10 pagi dengan tiga zon pecutan serta dua zon pendakian menjadi cabaran, terutama pendakian kedua menuju ke garisan penamat.

Dua zon pecutan di Tanjung Rambutan serta Tambun menjadi milik pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Harrif Salleh, untuk terus mencerahkan peluang merebut jersi biru.

Pendakian pertama di Kampung Raja mula menyaksikan beberapa pelumba membuat pecahan awal dengan Pishgaman mengatur strategi untuk mengekalkan jersi kuning milik Rahim Emami.

Begitupun, menuju 3 km terakhir perlumbaan, Arvin bersama dua lagi rakan sepasukan, Reza Hosseini dan Amir Kolahdouz Hagh, menjarakkan kedudukan.

Ketiga-tiga pelumba ini tidak mendesak antara satu sama lain dengan Arvin, yang juga pelumba basikal kebangsaan Iran, melintasi garisan penamat selaku juara dengan catatan 3 jam 12 minit 5 saat.

Ia sekali gus menafikan peluang TSG memburu podium apabila pakar mendaki, Dadi Suryadi, di kedudukan keempat.

Perebutan jersi merah untuk pelumba terbaik tempatan pula menyaksikan seorang lagi pelumba TSG, Nur Amirul Fakhruddin, mengekalkan kedudukan tersebut dengan menamatkan perlumbaan di tempat ke-13.

Kedudukan keseluruhan jersi kuning kini disandang oleh Arvin dengan kelebihan 3 minit 2 saat di depan Amir.
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen