Pengerusi Jawatankuasa Anti-Doping Persekutuan Sukan Komanwel (CGF), Tan Sri Dr M. Jegathesan, bersetuju dengan keputusan Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM) menggantung dua pemenang pingat emas Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak selama empat tahun walaupun ia dilihat terlalu berat.

PABM mengikut peraturan Agensi Anti Doping Dunia (WADA).

Itu pendirian Jegathesan setelah atlet angkat berat Pahang, Khairul Anuar Mohamad, digantung empat tahun selepas positif steroid.

Keputusan itu dilihat berat berbanding atlet senior, Constantine Clement dan Mohd Nasir Roslan, yang hanya digantung dua tahun walaupun positif jenis bahan sama.

“Hukuman hanya akan diputuskan selepas atlet diberikan peluang untuk membuat rayuan atau mengemukakan bukti, sama ada untuk mengurangkan kesalahan mahupun mengaku bersalah.

"Sesudah itu barulah badan induk pendengaran mempunyai kuasa mutlak bagi menjatuhkan hukuman seperti peruntukan yang termaktub dalam kod (WADA),” jelas Jegathesan.

Khairul Anuar adalah atlet kedua selepas jaguh bina badan negara, Sazali Samad, yang dikenakan hukuman maksimum empat tahun.

Atlet berusia 21 tahun itu mempunyai tempoh hingga 30 November ini untuk membuat rayuan mengurangkan hukumannya.