Ketua jurulatih skuad olahraga para negara, R. Jeganathan, masih belum mengangkat bendera putih dan yakin empat atlet negara bakal naik ke podium dalam Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Kejohanan Olahraga Para Dunia (IPC) tahun ini gagal mencetuskan senyuman di wajah pengendali itu di penghujung aksi melibatkan anak buahnya.

Tiga watak penting yang tidak pernah gagal menghadirkan pingat emas buat negara sejak 2013, bermula dengan Ziyad Zolkefli, mula mendapat tentangan baru dan bukan lagi antara yang terbaik.

Bagaimanapun, Jeganathan masih berani menabur janji bahawa empat atlit para negara bakal mengisi podium Sukan Paralimpik 2020 walaupun kelibat Latif Romly dan Ridzuan Puzi masih belum layak secara merit ke Tokyo.

"Fokus latihan sembilan bulan ini akan saya pastikan empat atlet negara naik ke podium di Tokyo serta akan cuba dapatkan seorang atau dua finalis," katanya.

Dia menambah ia bukan prestasi terbaik wakil negara dan dalam masa sama bukan bayangan sebenar kemampuan mereka di Tokyo nanti.

"Kami akui telah lakukan sedikit kesilapan tetapi dalam tempoh sembilan bulan, kami akan buat sesuatu yang sama seperti sewaktu Rio 2016. Latif dan Ziyad akan bangkit kerana sasaran utama kami adalah Tokyo 2020."