Ketua jurulatih olahraga para negara, R. Jeganathan, berharap semua pihak memahami keadaan atlet pecut, Muhammad Ridzuan Puzi, yang semakin berusia untuk diberikan tekanan kepadanya menjelang Sukan Para Asia di Jakarta, Indonesia, tahun depan.

Jeganathan menyedari prestasi Ridzuan kini tidak menentu kerana usianya yang bakal menginjak 31 tahun.

Bagi golongan kurang upaya seperti Ridzuan yang berada dalam kategori celebral palsy, ia adalah sesuatu yang normal untuk seseorang atlet itu semakin sukar mendapatkan tenaga seperti biasa.

Faktor itu telah memaksa pemenang pingat emas Sukan Paralimpik Rio itu melakukan senaman lebih kerap bagi mengimbangi badan dengan lebih baik.

Bakal beraksi dalam Sukan Para Asia Jakarta 2018, Jeganathan enggan anak buahnya itu terlalu diberi tekanan untuk menghadiahkan pingat emas, sebaliknya memberi masa kepadanya untuk mendapatkan semula sentuhan terbaiknya.

“Masalah tendon yang semakin pendek sering dialami oleh atlet yang menghidap masalah CP. Tetapi saya akan terus melatihnya dalam usaha mendapatkan sentuhan terbaik dalam Sukan Para Asia,” kata Jeganathan.

Jeganathan ditemui ketika sambutan Deepavali bersama keluarga di mana perayaan kali ini lebih sederhana kerana hanya diberi cuti selama satu hari.