Kemeriahan sambutan Deepavali kali ini amat bermakna bagi ketua jurulatih olahraga Paralimpik negara, R. Jeganathan.

Senyumannya sudah cukup untuk menggambarkan kegembiraannya bersama keluarga setelah melewati jadual padat pada tahun ini.

Bagi Jegananthan, sambutan Deepavali kali ini cukup bermakna, apatah lagi kejayaannya di Sukan Paralimpik Rio masih lagi menjadi topik perbualan utama di kalangan rakan-rakan serta keluarga.

"Semalam saya ke Kajang untuk membeli sedikit kelengkapan, dua orang mak cik berbangsa Melayu telah memanggil saya dari seberang jalan lalu datang kepada saya. Saya sangka dia mahu saya menolongnya.

"Kemudian dia memegang tangan saya lalu berkata dekat telinga saya, "Anak... Tolong teruskan tugas kamu, kami mahu melihat anak-anak muda dari kampung bersemangat.

"Bagi saya, itu satu restu dan hadiah untuk saya sempena Deepavali ini," ujar beliau menceritakan pengalamannya.

Pencetus semangat Jegananthan sudah pasti isterinya, R Mageswary, serta dua anak lelakinya, Tarumaraaj dan Tatshnamurty, yang tidak menang tangan meraikan kenalan yang hadir ke rumah mereka pada hari ini.

"Dia seorang yang sangat penyabar untuk mengendalikan atlet-atlet Paralimpik.

"Dia benar-benar berkorban.

"Sukar untuk saya ucapkan. Saya mesti menangis apabila bercakap mengenai perkara ini," kata isterinya.

Atlet negara, termasuk pemegang emas Paralimpik bagi acara 100 meter T36, Ridzuan Puzi, turut bersama-sama memeriahkan suasana.