Jeganathan sudah mula fokus kejohanan tahun depan

Oleh Staff Writer 10 Oktober 2016 5
Jeganathan sudah mula fokus kejohanan tahun depan
Ketua jurulatih olahraga Paralimpik negara, R. Jeganathan, sudah mula merangka program pemilihan muka baru bagi persediaan menghadapi beberapa kejohanan besar tahun depan, terutama Sukan Para Asean Kuala Lumpur 2017.

Bagi Jeganathan, kejayaan di Sukan Paralimpik Rio 2016 adalah cerita yang sudah berlalu, sebaliknya fokusnya kini terarah kepada penyediaan atlet bagi Sukan Para Asean tahun hadapan, apatah lagi Malaysia menjadi tuan rumah sukan dwitahunan itu.

Sirkit Akhir Kejohanan Olahraga Para Kebangsaan di Lumut, bulan depan, menjadi medan awal untuk Jeganathan dan barisan kejurulatihan para, menilai muka-muka baru membarisi skuad olahraga para kebangsaan.

“Dalam dua minggu ini, saya telah bertemu dengan pegawai Majlis Sukan Negara (MSN) untuk membuat pemilihan bagi mendapatkan kontinjen yang lebih besar di Sukan Para Asean,” kata Jeganathan.

Tiada jumlah spesifik dinyatakan Jeganathan, namun dia memberikan gambaran skuad olahraga para akan dibarisi kontinjen besar untuk menghadapi saingan pada tahun hadapan.

“Kami perlu melihat kepada acara yang akan dipertandingkan nanti. Dari situ, kami dapat melihat kemampuan kami. Kami berharap untuk menyediakan kontinjen yang besar jika acara diasingkan mengikut kategori yang berlainan.”

Pada Sukan Para Asean tahun lalu di Singapura, skuad olahraga para menyumbang 27 emas, 18 perak dan lapan gangsa untuk membantu Malaysia menghuni tangga ketiga keseluruhan.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen