Ketua jurulatih skuad olahraga para negara, R. Jeganathan, mahu anak buahnya, Mohd Ridzuan Puzi, berehat daripada sebarang kejohanan sehingga Jun tahun depan bagi memastikan kecederaan yang dialaminya pulih sepenuhnya.

Ridzuan sebelum ini beraksi dalam keadaan kesakitan akibat kecederaan paha ketika Sukan Para Asia di Indonesia, Oktober lalu.

Namun, dia masih berjaya meraih tiga pingat emas dalam temasya itu.

Ridzuan masih belum pulih sepenuhnya dan Jeganathan tidak mahu pemegang rekod dunia acara 100m T36 itu berdepan risiko yang boleh membawa kepada kecederaan lebih serius.

Ia kerana keadaan itu berkemungkinan akan meranapkan misi pelari itu ke Kejohanan Olahraga Para Dunia di Dubai, November tahun depan.

"Keadaan kecergasannya kini semakin baik.

"Saya boleh katakan dia sudah 75 peratus pulih seperti sedia kala.

"Dia akan direhatkan sehingga Jun tahun depan bagi memastikan dirinya pulih sepenuhnya," katanya.

Jeganathan tidak mahu terburu-buru untuk menghantar barisan atletnya menjalani latihan di luar negara tahun depan.

Sebaliknya, dia mahu meletakkan fokus kepada program latihan di tanah air buat masa ini.

"Latihan di luar negara sama sahaja seperti di dalam negara.

"Adakalanya saya melatih atlet dari England di sini.

"Latihan di sini sudah cukup lengkap.

"Apa yang membezakannya adalah cuaca di sana," tambahnya.