Jurulatih olahraga para negara, R. Jeganathan, tetap tidak gembira dengan perkhabaran skandal doping yang melanda kem para negara di sebalik kelegaan bahawa tiga atletnya, Abdul Latif Romly, Ridzuan Puzi dan Ziyad Zolkefli, bebas daripada isu tersebut.

Kebimbangan mula melanda skuad Para ASEAN negara setelah lapan sampel air kencing atlet Malaysia didapati mencurigakan, namun berita gembira diterima apabila tiga ikon skuad para negara itu bebas daripada penggunaan bahan terlarang.

Sebagai ketua jurulatih olahraga, Jeganathan yakin bukan sahaja tiga atlet itu, malah kesemua 21 atlet di bawah jagaannya, sedar tentang akibat yang bakal menimpa jika didapati positif doping.

“Saya tidak risau kerana dua minggu sekali, pihak Institut Sukan Negara (ISN) akan memberikan nasihat serta taklimat mengenai cara pemakanan yang betul.

“Jika ada yang membawa makanan atau ubat dari luar, ia akan disemak terlebih dahulu,” katanya.

Biarpun status kesemua lapan sampel itu masih belum diketahui dan akan diuji semula, Jeganathan berpendapat ia sedikit-sebanyak mencalarkan imej Malaysia selepas mengecapi kejayaan muncul naib juara Sukan Para Asean Kuala Lumpur 2017 dengan mengutip 90 pingat emas, 85 perak dan 83 gangsa, bulan lalu.

“Jangan beli makanan dari luar atau sebarang ubat. Segala-galanya perlu mendapat kebenaran daripada pihak ISN,” katanya.