Jeganathan lega Afiq Ali, Solihim sahkan tempat lebih awal

Oleh Penulis Jemputan 1 Oktober 2017 422
Jeganathan lega Afiq Ali, Solihim sahkan tempat lebih awal
Dua atlet olahraga para negara, Afiq Ali Hanafiah dan Ahmad Solihim Mohd Nor, berjaya mengisi slot ke Sukan Komanwel Gold Coast 2018 selepas menduduki kedudukan enam terbaik dunia setakat ini.

Afiq dan Solihim terpilih bagi menggalas cabaran negara ke pentas Sukan Komanwel selepas kali terakhir Malaysia memiliki wakil ke temasya itu bagi acara olahraga adalah tujuh tahun lalu di India.

Ketua jurulatih olahraga para negara, R. Jeganathan, ternyata lega dengan perkembangan itu sambil menyuarakan kelegaan apabila mempunyai tempoh enam bulan untuk melakukan persediaan buat anak buahnya.

Sebelum ini, penampilan dua lagi atlet para negara, Ahmad Farie Ariffin dan Eryanto Bahtiar, hanya diketuahui pada sat-saat akhir, sekaligus merencatkan segala perancangan. 

“Afiq kini berada di kedudukan keempat atau kelima, jadi diharapkan dia mampu mencatat masa 11.28 saat ke 11.30s untuk menghadirkan pingat buat Malaysia. Kami masih memiliki lima bulan lagi sebelum kejohanan untuk memberikannya latihan yang cukup,” kata Jeganathan.

Tempoh enam bulan yang dimiliki Afiq dan Solihim dianggap cukup baik dan dalam masa sama, Jeganathan mengharapkan kecederaan kedua-dua anak buahnya itu mampu pulih segera.

Walaupun beraksi di pentas Sukan Para Asean 2017 dalam keadaan tidak cergas sepenuhnya, Afiq berjaya membawa pulang dua pingat emas menerusi acara 200 meter T12 dan 100 meter T12 manakala Solihim membutirkan satu emas bagi acara 100 meter T45/56.

“Solihim berada dalam kelompok enam terbaik dunia dan akan melakukan yang terbaik kerana dia merupakan atlet bagi kategori T46 tetapi akan menyertai kategori T47 kerana ketiadaan atlet lain. Kami akan cuba untuk membantunya.”
 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen