Keluarga kejurulatihan negara sudah pasti paling terkesan dengan perkembangan sedih yang menimpa jurulatih pecut negara, Mohd Poad Md Kassim, dan tiada yang lebih memahami situasi ini daripada ketua jurulatih olahraga para negara, R. Jeganathan.

Jeganathan pernah terlantar di hospital gara-gara kemalangan serius yang hampir meragut keupayaan dia untuk berjalan semula.

Sepanjang waktu itu, apa yang bermain di fikirannya adalah program latihan serta kebajikan anak buahnya.

Bersandarkan naluri sebagai seorang jurulatih, Jeganathan percaya apa yang difikirkan Poad sebelum koma susulan jangkitan kuman di paru-paru, pastinya beliau gusar mengenai perkembangan atlet di bawah jagaannya, terutama Khairul Hafiz Jantan.

"Setiap jurulatih sentiasa mengingati atlet-atlet mereka. Ini merupakan satu situasi yang tidak baik dan berharap beliau dapat sembuh selepas ini," katanya.

Jeganathan turut berbicara soal tekanan tinggi yang dihadapi jurulatih untuk sentiasa menghadirkan keputusan positif.

Apatah lagi seorang jurulatih seperti Poad yang bertugas sepanjang masa dalam memastikan Khairul Hafiz berada pada kemuncak prestasi.

"Sebagai jurulatih, saya mahu Poad kembali bertugas di balapan dan melahirkan lebih ramai atlet-atlet berkualiti," tambahnya.