Ketua jurulatih olahraga Paralimpik negara, R. Jeganathan, lega keadaan kembali kepada sediakala sebaik melihat balapan Majlis Sukan Negara (MSN) dipenuhi atletnya menjalani latihan.

Jeganathan pernah bersuara untuk menarik kembali anak buahnya pada kedudukan sebenar kerana bimbang kejayaan mereka menjadi punca mereka lupa diri.

Selepas melewati pelbagai program luar berikutan kejayaan atlet Paralimpik membawa pulang pingat emas dan gangsa buat negara di Sukan Olimpik Rio, Jeganathan kembali tersenyum apabila aktiviti hariannya terisi dengan sesi latihan seperti kebiasaan.

"Atlet sudah mula kembali menjalani latihan. Ini satu perkembangan yang baik.

"12 atlet senior ini akan menghadapi Kejohanan Dunia nanti. Empat daripada mereka diperlukan untuk menjadi pembimbing kepada atlet yang lebih muda," katanya ketika ditemui di Bukit Jalil, pagi tadi.

Dia semakin bersemangat merangka pelan terkini buat anak buahnya.

Sudah pasti sasaran utama adalah Kejohanan Dunia di London dari 13 hingga 24 Julai tahun hadapan, namun Jeganathan tetap memberi tumpuan penuh untuk persediaan Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur yang berlangsung pada September.

"Kami akan mencari bakat-bakat baru untuk dipersiapkan menghadapi Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur. Saya akan tapis dan memilih atlet-atlet yang berpotensi."