Junior Cycling Malaysia (JCM) berada dalam laluan tepat bagi membentuk program terbaik untuk peringkat akar umbi selepas mendapat tajaan daripada Yayasan CIMB selama tiga tahun.

Tajaan yang akan bermula pada tahun depan sehingga 2020 itu turut melahirkan program baru, iaitu Program Pembangunan CIMB-JCM Junior, yang mendapat sokongan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Sukan Negara (MSN).

Fokus utama penajaan itu lebih tertumpu kepada pendedahan barisan pelumba muda berbakat yang mampu menjadi pelumba elit pada masa akan datang, bergantung kepada pemilihan berdasarkan pencapaian dalam kejohanan sirkit.

Program berkenaan dirasmikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, yang turut disaksikan oleh Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail, dan Ketua Eksekutif Yayasan CIMB, Datuk Hamidah Naziadin, di Menara Bumiputra Commerce, hari ini.

"Beberapa sirkit yang telah dijalankan di setiap negeri boleh diperkembangkan serta ia memberi pendedahan kepada beberapa atlet yang terpilih untuk dihantar bertanding di luar negara," kata Khairy.