Penganjuran kali pertama Junior Cycling Malaysia (JCM) nyata memberi impak positif dalam arena berbasikal tanah air dan akan diteruskan untuk tahun hadapan.

Menurut Pengarah Teknikal JCM, Yunus Ibrahim, kejohanan itu akan ditambah baik untuk edisi kedua selain merancakkan usaha mencari bakat-bakat baharu dalam sukan itu.

“Sambutan yang diterima dalam kesemua kategori cukup menggalakkan sepanjang tujuh siri sirkit JCM tahun ini.

“Menganjurkan JCM adalah langkah yang tepat memandangkan sebelum ini negara ketandusan pelumba-pelumba pelapis untuk menggantikan pelumba elit.

“Dengan wujudnya peluang seumpama ini, ia sudah tentu membantu program pembangunan skuad berbasikal negara dengan melihatkan peningkatan pelumba-pelumba muda.

“JCM adalah cetusan idea Menteri Belia dan Sukan (Khairy Jamaluddin), jadi perbincangan akan diadakan dengan Majlis Sukan Negara (MSN), untuk meneruskan kejohanan ini tahun hadapan,” tambah Yunus, yang juga Naib Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM).

Selepas 650 peserta mengambil bahagian dalam acara kriterium semalam, 300 pelumba lagi berentap dalam acara lumba lebuhraya pada sirkit ketujuh yang juga sirkit terakhir di Kuala Terengganu, semalam.

Selain kategori utama elit lelaki dan wanita, hampir 20 kategori lain ditawarkan, bermula dengan bawah 9 tahun sehingga bawah 19 tahun.

“Meskipun terdapat kelemahan seperti sistem kiraan masa yang disuarakan pelumba, pihak penganjur dapat memperbaiki kekurangan itu dari semasa ke semasa.

“Melalui kategori peringkat umur ini, pelumba-pelumba muda berpeluang menonjolkan bakat mereka, seterusnya diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.

“Menjadi salah satu misi JCM untuk meningkatkan keupayaan pelumba-pelumba pelapis untuk diserap ke program MSN dan hasilnya sudah dapat dilihat sedikit demi sedikit,” ujar Yunus lagi.