Ahli Jawatankuasa Eksekutif Persekutuan Angkat Berat Asia Tenggara (SEAWF), Ahmad Janius Abdullah, bimbang skuad negara boleh digantung di pentas antarabangsa kerana
mencatat kes doping berturut-turut sejak empat tahun lalu.


Skuad angkat berat negara berdepan risiko lebih besar selepas sampel A air kencing Mohd Hafifi Mansor didapati positif oxymetholone.

Hafifi masih menunggu maklum balas Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa (IWF) untuk mencabar sampel B dalam masa terdekat.

IWF pada awal bulan ini mengumumkan sembilan negara digantung selama setahun kerana mencatat kes doping selama tiga tahun berturut-turut, dengan Malaysia dilihat bernasib baik.

Sukan angkat berat negara mencatatkan kes doping berturut-turut sejak 2014 dan jika Hafifi positif sampel B, keadaan pasti lebih buruk sekali gus mengundang risiko digantung IWF.

"Atlet-atlet negara yang telah didapati positif dengan pengambilan dadah ketika beraksi dalam kejohanan yang tidak besar. Kemungkinan itu ada, tetapi kami berharap ia tidak akan berlaku," kata Janius.

Setakat ini, belum ada negara Asia Tenggara digantung kerana positif doping.

Benua Asia menyaksikan China, Azerbaijan dan Kazakhstan berada dalam senarai sembilan negara yang digantung.

"Kami berharap supaya atlet-atlet menyedari bahawa jika mereka mengambil bahan terlarang, mereka tidak akan berjaya di pentas antarabangsa kerana Agensi Anti-Doping Dunia (WADA) memiliki teknologi yang mampu mengesan pengambilan bahan terlarang ini," katanya.

Dalam pada itu, Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menjangkakan keputusan doping sampel B penerjun negara akan diperolehi minggu depan kerana pegawai makmal ujian doping di New Delhi, India sedang bercuti sempena perayaan Deepavali.

“Kami berharap akan mendapatkan keputusan penuh pada minggu depan untuk kami membuat persiapan menjalankan langkah seterusnya,” kata Setiausaha Agung MOM, Datuk Low Beng Choo.