Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Karim Ibrahim, tidak mahu atlet yang bukan daripada Program Podium diketepikan keutamaan mereka, khususnya melibatkan rawatan susulan bagi masalah kecederaan.

Ia adalah kesinambungan daripada hasrat besar Majlis Sukan Negara (MSN) untuk meneruskan kecemerlangan atlet negara, namun ada perkara yang dibangkitkan Karim.

Karim meluahkan rasa kurang senang apabila timbul dakwaan pilih bulu daripada segi rawatan susulan kecederaan dan bekalan perubatan kepada atlet Program MSN.

Katanya, jika MSN mahu melihat peningkatan prestasi atlet, hal ini seharusnya ditangani segera walaupun atlet daripada Program MSN bukan membabitkan atlet elit.

"Sudah tentu kami menyokong Program Podium. Mereka membuat persiapan untuk tahap tinggi.

"Tetapi mereka harus menimbang (keutamaan) atlet Malaysia yang tidak berada dalam program itu. Atlet perlu diberi perhatian, tumpuan kepada latihan dan juga melibatkan kecederaan," katanya.

Pemangku Pengarah, Bahagian Atlet MSN, Jefri Ngadirin, menambah: "Pihak Podium telah bersetuju secara dasar untuk melanjutkan khidmat bagi semua atlet dalam program senior untuk persiapan Sukan Asia dan Sukan Komanwel pada tahun depan.

"Saya tidak nampak banyak masalah, cuma perkara-perkara berbangkit itu perlu diselesaikan satu persatu."

Dalam masa sama, KOM memberi tumpuan penuh kepada lapan atlet yang meraih pingat perak Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 dalam persediaan menghadapi temasya sukan itu di Manila pada 2019.

"Kami akan tambahkan (sasaran) pingat dan untuk itu, kami perlu mencari atlet luar selain pemenang pingat emas Sukan SEA. Atlet pingat perak juga dijadikan prospek emas," ujar Karim.