Jurulatih powerlifting negara, Jamil Adam, berharap agar Majlis Olimpik Malaysia (MOM) mampu mempertimbangkan permintaannya untuk membawa seorang penolong ke Sukan Para Komanwel Gold Coast, April depan bagi mengurus persiapan atlet di sana.

Walaupun Malaysia bakal menghantar dua atlet sahaja untuk bertanding di Gold Coast dalam acara powerlifting menerusi Jong Yee Khie dan Bonnie Bunyan, Jamil tetap memerlukan seorang pembantu.

Keperluan itu wujud bukan sahaja untuk mengurus keadaan atlet itu sendiri, namun turut bertindak sebagai pengesan maklumat pesaing untuk dianalisis.

"Setakat ini, untuk pencalonan awal berdasarkan nama yang disenaraikan, ia hanya melibatkan seorang jurulatih dan dua atlet. Untuk menjadikan segala urusan menjadi lebih lancar, kami mahu meletakkan dua individu untuk mengawal setiap kategori," kata Jamil.

Untuk Sukan Komanwel, hanya empat kategori dipertandingkan, iaitu bawah 82 kilogram lelaki dan wanita serta atas 82kg lelaki dan wanita.

Selain meletakkan sasaran pingat ke atas Yee Khie yang juga pemenang pingat gangsa ketika Sukan Para Komanwel Glasgow 2014, Jamil juga optimis Bonnie mampu mencipta kejutan berdasarkan pencapaiannya dengan memecahkan rekod dunia dalam Kejohanan Powerlifting Remaja Dunia di Mexico pada September lalu apabila mengangkat seberat 145kg.

"Setakat ini, 106kg telah saya lakukan tetapi kini dalam proses mengembalikan prestasi selepas berehat meraikan Hari Krismas, Disember lalu," ujar Bonnie.