Pengorbanan besar yang perlu dibuat pemain ragbi 15 sepasukan negara, Fairuz Rahman -- dalam mempertimbangkan penglibatannya bersama skuad kebangsaan bagi musim 2020 -- sekira khidmatnya lebih diperlukan barisan hadapan dalam memerangi wabak koronavirus baru (Covid-19) di negara ini.

Atlet berasal dari Kedah itu, yang berada dalam senarai panjang skuad kebangsaan ketika ini dalam masa yang sama tutut memikul jawatan penolong pegawai dalam Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sejak 2007 lagi.

"Sebagai warga barisan hadapan, suka atau tidak, kami harus laksanakan tugas.

"Cabarannya sangat tinggi apabila orang awam dan persekitaran (menganggap) kami sebagai pembawa penyakit sedangkan kami merupakan barisan pertahanan terakhir buat orang yang bermasalah yang cuba diberi rawatan.

"Barisan depan seperti polis dan angkatan tentera pula menjaga keselamatan dan keharmonian bagi mengurang dan menghentikan Covid-19.

"Kalau tidak dapat kerjasama daripada orang awam seperti ada yang mengambil sikap acuh tidak acuh, ia akan melambatkan usaha menyekat penularan Covid-19.

"Kalau masing-masing mengambil tanggungjawab, tidak mustahil bencana pandemik ini boleh dihentikan di Malaysia," katanya, yang turut berkongsi satu video ketika melakukan kerja-kerja semburan sanitasi, sewaktu ditemu bual wartawan Nadi Arena, Norhaliza Hamzah, melalui FaceTime hari ini.

Sementara itu, seorang lagi tonggak negara, K Dineshwaran, yang sebelum ini dipalit masalah untuk pulang ke Malaysia daripada Jepun difahamkan berjaya menaiki penerbangan.



Dalam satu pautan laman sosial, Dineshwaran memuat naik perkongsian gambar dirinya dalam pesawat untuk pulang ke Kuala Lumpur.

Atlet berusia 32 tahun itu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa (KLIA), lewat petang tadi.

Bagaimanapun, pemain kelab Hino Red Dolphins itu perlu menjalani tempoh kuarantin selama 14 hari sebelum boleh bertemu keluarganya.

Semalam, dia memaklumkan kepada Nadi Arena bahawa sudah bersedia dengan tiket penerbangan untuk pulang ke Malaysia.

Sekalipun Kerajaan Jepun mengenakan perintah berkurung akibat wabak Covid-19, tetapi tiada sekatan buat rakyat asing untuk pulang ke negara masing-masing.