Jaguh ping pong remaja negara asah bakat di Luxembourg

Oleh Penulis Jemputan 7 November 2017 957
 Jaguh ping pong remaja negara asah bakat di Luxembourg
Pemain ping pong muda negara, Karen Lyne Dick, menjadi pengubat duka kempen suram skuad negara dalam Sukan SEA Kuala Lumpur apabila dipilih Persekutuan Ping Pong Antarabangsa (ITTF) ke kem latihan Rough Diamond 2017 di Luxembourg, bulan depan. 

Sebelum ke Luxembourg, Karen akan berlepas ke India bersama-sama Choong Javen untuk menyertai kelayakan peringkat Asia bagi Sukan Olimpik Remaja. 

Karen, yang berusia 15 tahun adalah permata baru dalam sukan ping pong kebangsaan.

Menerusi pencalonan yang dicadangkan Persatuan Ping Pong Malaysia (TTAM) ke ITTF, Karen terpilih ke Luxembourg untuk menjalani latihan bersama pemain muda antarabangsa dalam lingkungan usia 13 hingga 15 tahun di dalam kem yang berlangsung selama sembilan hari itu. 

Sebanyak 14 peserta lelaki dan 14 perempuan terpilih ke kem itu yang bertujuan membantu meningkatkan prestasi pemain muda berbakat menerusi bimbingan jurulatih dan program latihan yang berkualiti. 

"Saya sangat teruja dengan program ini selepas meraih beberapa keputusan memberangsangkan di peringkat antarabangsa. 

"Permainan saya semakin maju. Peluang berdepan dengan mereka membantu kerana corak permainan juga berbeza," katanya. 

Karen meraih pencapaian membanggakan dalam beberapa kejohanan peringkat remaja, antaranya memenangi pingat emas dalam acara berpasukan Sukan Sekolah-Sekolah Asia Tenggara, Julai lalu, serta gangsa dalam Terbuka Kadet Remaja Thailand, Mei lalu. 

"Saya perlu rajin berlatih, kalau tidak sukar untuk beraksi dalam kejohanan besar. 

"Jika berpeluang, saya berharap dapat mempamerkan aksi lebih baik dalam Sukan SEA akan datang," ujarnya.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen