Ketua jurulatih memanah negara, Lee Jae-Hyung, akan mengetuai misi mendominasi Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) apabila Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM) terpaksa menangguhkan usaha melantik pengarah kejurulatihan kebangsaan.

NAAM terpaksa menunggu selepas tamat Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 untuk melantik pengarah kejurulatihan atas permintaan Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN).

Badan induk itu sedang mengesan beberapa calon, namun terpaksa menangguhkan usaha mereka dan perlu bergantung kepada program latihan Jae-Hyung untuk merebut lima pingat emas dalam acara recurve.

“Kami akan mengekalkan dengan apa yang kami ada setakat ini, jadi kami akan meneruskan program dalam persediaan atlet bagi menghadapi Sukan SEA tahun hadapan,” jelas Amir Suharman Adnan, Pemangku Setiausaha Kehormat NAAM.

Skuad recurve negara bergelut untuk mempamerkan prestasi terbaik dalam Sukan SEA Singapura tahun lalu apabila sekadar meraih satu pingat emas (berpasukan lelaki).

Malah, Malaysia terkandas dalam pusingan awal Sukan Olimpik Rio 2016.

Ia merupakan punca utama NAAM berusaha mendapatkan pengarah kejurulatihan yang baru bagi meningkatkan keberkesanan program latihan kebangsaan.

Malaysia akan menyertai Kejohanan Asia Tenggara di Myanmar, Januari depan.

Pencapaian terbaik skuad memanah negara adalah dalam Sukan SEA di Singapura tahun lalu di mana lima emas, tiga perak dan dua gangsa berjaya diraih dan diharapkan atlet-atlet memanah negara akan lebih cemerlang dalam Sukan SEA 2017 nanti.