Jackie yakin kembali capai kegemilangan selepas pulih Covid-19

Oleh Bernama 28 Mei 2020 68
Jackie yakin kembali capai kegemilangan selepas pulih Covid-19
Jaguh baling tukul besi negara, Jackie Wong yakin untuk kembali mencapai kegemilangan selepas pulih sepenuhnya daripada wabak COVID-19.

Atlet berusia 28 tahun itu yang dimasukkan ke wad pada awal pagi 16 Mac lepas dan dibenarkan keluar dari Hospital Sibu, Sarawak semalam, berkata beliau berada dalam keadaan stabil serta sihat dari segi mental dan fizikal sepanjang tempoh 73 hari menerima rawatan.

Jackie yang merupakan pemegang rekod kebangsaan acara baling tukul besi lelaki dengan balingan sejauh 68.22 meter, meraih pengiktirafan tersendiri apabila berjaya memecahkan rekod kebangsaan sebanyak 17 kali.

“Saya tahu ia akan mengambil masa untuk saya pulih dan sekali lagi mencatat kecemerlangan. Saya percaya dapat kembali mencapai kegemilangan dalam karier sukan saya, dan berharap untuk menjalani latihan seperti biasa di Padang MSN (Majlis Sukan Negara) dengan jurulatih (Gu Yuan) dan rakan sepasukan.

“Selama ini saya tidak pernah henti latihan. Saya percaya tiada kesan sampingan selepas sembuh daripada COVID-19 dan ia tidak akan mempengaruhi hidup saya selepas ini,” katanya menerusi video yang dimuat naik di laman Facebooknya hari ini.

Jackie dijangkiti virus itu ketika beliau melawat bapanya, Andrew Wong Ling Biu di Sarikei pada 11 Mac lepas, kerana pada tempoh tersebut, Ahli Parlimen Sarikei itu dipercayai menghidap jangkitan kuman pada paru-paru. Wong masih berada di Hospital Sibu dan dijangka keluar hospital minggu hadapan.

“Ketika saya melawat ayah yang dirawat kerana jangkitan paru-paru, tetapi akhirnya disahkan positif (COVID-19), begitu juga dengan saya. Saya mengakui cabaran ini amat besar bagi keluarga saya, kerana dua orang dijangkiti virus ini.

“Saya terpaksa menjalani pengasingan di hospital, ahli keluarga tidak dibenarkan melawat dan saya juga tidak dibenarkan melawat ahli keluarga dalam tempoh itu. Apa yang kami dapat lakukan ialah hanya berdoa dan mendalami ilmu agama,” jelasnya.

Jackie turut meminta individu tidak bertanggungjawab supaya menghentikan tuduhan atau menyebar khabar angin tidak benar mengenai beliau dan bapanya kerana sikap itu menyakitkan hati ahli keluarganya.

Berkongsi mengenai rutin hariannya di hospital selama ini, Jackie berkata selepas sarapan beliau akan meluangkan masa berdoa dan membaca Alkitab, seterusnya menonton video balingannya dan atlet lain.

“Kadang-kadang saya akan menonton filem atau membaca buku. Selepas makan tengah hari, saya akan tidur sebentar dan pada sebelah petang menjalani latihan di dalam wad selama dua jam menerusi panggilan video dengan jurulatih kerana beliau dapat membetulkan teknik (balingan) saya yang salah.

“Saya juga ingin mengingatkan kepada rakyat Malaysia supaya mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat dan sama-sama kita dapat menangani pandemik ini. Kepada pesakit yang sedang menerima rawatan di hospital, anda perlu bersabar dan mengikut arahan pihak hospital, selalu berfikiran positif,” katanya.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua petugas barisan hadapan terutamanya doktor dan jururawat yang merawatnya di Hospital Sibu, selain pihak MSN, Institut Sukan Negara dan Kesatuan Olahraga Malaysia.

Jackie merupakan pemenang pingat gangsa Sukan SEA sebanyak tiga kali berturut-turut dari 2011 hingga 2015 sebelum meraih emas pada edisi 2017 di Malaysia. Namun, pada edisi di Filipina tahun lepas, beliau terpaksa berpuas hati dengan pingat perak.

-- BERNAMA

Tentang Penulis

Bernama

Komen