Jaguh baling tukul besi negara, Jackie Wong, kembali ke Bukit Jalil dengan diiringi persoalan, apa penerimaan rakan atlet terhadap bekas pesakit COVID-19?

Jackie akui banyak perbezaan sebelum dan selepas dijangkiti virus itu, di mana pandemik tersebut hampir meragut nyawa bapa dan abangnya selain turut mengakui ada hikmah di sebalik kejadian yang menimpa diri dan keluarganya itu.

"Ia membuatkan saya lebih menyayangi keluarga dan beranggapan bahawa ia mungkin peringatan Tuhan buat keluarga saya," katanya.

Tambahnya, sepanjang tempoh bapanya dijangkiti virus ersebut, dia dan ahli keluarga yang lain berasa amat risau dan tidak tahu apa yang boleh dilakukan selain hanya berdoa dan mengharapkan yang terbaik.

"Saya tidak menyangka yang koronavirus ini boleh mengancam ahli keluarga saya," tambahnya.

Selepas disahkan positif COVID-19, Jackie turut berdepan tekanan sepanjang berada di hospital, namun bagi pemegang rekod kebangsaan ini, dia tetap tenang dalam menangani pelbagai tekanan yang mendatang.

Dia turut menerangkan betapa dia tidak mengalami sebarang gejala serius selain batuk-batuk dan sakit tekak.

Selepas 10 hari, gejala itu hilang dan berdasarkan laporan penanaman virus, darah Jackie sah tidak lagi dijangkiti virus itu.

"Saya juga menjalani latihan menggunakan panggilan video bersama jurulatih dan dia selalu memberikan kata-kata dorongan agar meneruskan latihan dengan lebih bersemangat.

"Jurulatih menggesa agar kekal fokus terhadap kesihatan, itu yang paling penting," katanya lagi.

Sebagai langkah alternatif dalam latihannya di hospital, Jackie telah menggunakan katil sebagai aparatus latihan dan lebih menarik, abangnya turut menghantar 'dumbell' bagi membantu latihannya.

"Doktor juga turut menggalakan saya untuk melakukan aktiviti bagi mengekalkan kecergasan fizikal dan mental," katanya.

Kini, dengan kembalinya Jackie ke MSN, dia bertekad untuk bangkit dalam usaha mengembalikan prestasi terbaik.

"Saya ingin berpesan supaya rakan atlie yang lain supaya jangan kritik saya kerana saya sudah sembuh dan disahkan negatif COVID-19.

"Anggap saya sebagai orang normal sahaja, namun saya akui agak sukar untuk mereka terima kenyataan ini."