Juara wusyu dunia, Loh Jack Chang, merancang untuk menyertai bidang kejurulatihan selepas ujian imbasan MRI mendapati kecederaan lutut dan pinggangnya tidak akan pulih seperti sediakala.

Jack Chang mengalami masalah 'cartilage degeneration' di bahagian lutut dan pinggang yang berpunca daripada latihan keras sejak 16 tahun lalu.

Juara dunia lima kali itu bergelut dengan kecederaan sejak awal tahun ini, sekali gus membuatkannya mula merancang mengenai masa depan.

"Memang saya sudah bincang dengan jurulatih, pegawai dari ISN (Institut Sukan Negara) dan MSN (Majlis Sukan Negara).

"Mungkin jadi jurulatih atau kekal (sebagai atlet) dalam skuad kebangsaan," katanya.

Jack Chang antara bintang wusyu terbaik yang pernah dimiliki Malaysia.

Atlet berusia 30 tahun itu mula mencatat nama sebagai juara dunia acara taijiquan dan taijijian sejak 2010.

Pun begitu, dia masih menaruh harapan untuk bertahan sehingga Sukan Asia Indonesia 2018 kerana dia belum pernah mengecap pingat emas dalam temasya sukan itu.

"Memang saya ada niat lagi berjuang untuk negara. Bagi Sukan Asia akan datang, kami dalam sukan wusyu berpeluang untuk meraih emas," ujarnya.