Kapten pasukan bola keranjang wanita negara, Nur Izzati Yaakob, mahu terus konsisten beraksi meskipun tiada kejohanan besar sehingga hujung tahun ini.

Katanya, ia kerana ada misi besar menanti pasukan negara, iaitu Sukan Komanwel di Gold Coast, dari 5 hingga 15 April tahun depan.

Setakat ini, Izzati hanya menyertai saingan dalam Liga Profesional (Pro League) dan terbaru bakal menghadapi Piala Agong bulan depan.

Walaupun tiada kejohanan antarabangsa bersama skuad kebangsaan, pemain KL Binapuri itu tetap mementingkan aspek kecergasan dalam persediaannya untuk beraksi dalam Sukan Komanwel.

Malah, temasya sukan itu adalah cabaran utama Malaysia apabila layak buat kali kedua selepas kali terakhir menyertainya di Melbourne pada 2006.

"Ia adalah pengalaman dan tahap baru untuk kami. Diharapkan kami dapat memberikan yang terbaik ataupun cuba mendapatkan keputusan yang terbaik," katanya.

Melihat kepada acara tiga sepasukan yang semakin mendapat tempat di hati barisan pemain, Izzati memuji skuad wanita bagi acara itu yang layak ke Piala Dunia tahun depan.

Bagaimanapun, dia tidak pernah terfikir untuk cuba menyertai acara itu di atas faktor fizikal.

"Ia bukan satu acara yang semua orang boleh cuba bermain. Ia peringkat yang tinggi, dan mungkin bentuk badan saya kecil, ia tidak berapa sesuai untuk saya," katanya.