Pelumba Pasukan Berbasikal Sapura (TSC), Izzat Hilmi Abdul Halil, berharap agar rentak konsisten pasukan itu dapat dikekalkan menjelang Jelajah Malaysia 2017 yang akan bermula minggu depan.

TSC yang baru ditubuhkan pada tahun ini mahu terus memperbaiki persembahan dalam setiap perlumbaan yang disertai.

Antara pencapaian terbaik mereka setakat ini adalah meraih kedudukan podium dalam Kejohanan Klasik New Zealand serta Jelajah Molvccas di Indonesia, baru-baru ini.

Malah, TSC turut meraih gelaran raja pecut dalam saingan di Indonesia untuk dua peringkat berturut-turut menerusi Izzat Hilmi.

"Sekarang kami sudah menghadapi banyak perlumbaan di luar negara, jadi untuk Jelajah Malaysia 2017 kami sudah bersedia," katanya.

Selain pelumba tempatan, TSC juga diperkuatkan dengan beberapa pelumba luar negara, khususnya dari Colombia, termasuk pakar mendaki, Jahir Perez, yang meraih tempat kedua keseluruhan raja bukit dalam saingan Le Tour de Langkawi (LTDL) edisi tahun ini.

Walaupun faktor komunikasi dilihat menjadi antara halangan utama, Izzat Hilmi percaya perkara itu semakin dapat diatasi, apatah lagi mereka kini telah menjalani kem latihan bersama di Sepanyol selama dua bulan.

"Kami melalui proses latihan yang padat di sana dan banyak perkara yang dapat kami pelajari," katanya lagi.



name: izzat hilmi abdul halil/pelumba tsc]