Gimnas negara, Izzah Amzan, tidak menganggap dirinya berada dalam zon selesa bagi mewakili negara dalam Sukan Komanwel Gold Coast bulan depan walaupun dia melepasi penilaian yang dilakukan untuk senarai akhir.

Seperti dimaklumkan Majlis Olimpik Malaysia (MOM), mana-mana atlet yang berdepan kecederaan masih boleh diganti, Izzah tidak menolak kedudukannya juga masih belum terjamin.

Kecederaan lama di bahagian lutut masih dirasai gimnas berusia 19 tahun itu dan berharap ia tidak terlalu serius sambil berpendapat peluang masih terbuka buat sesiapa sahaja dan Kejohanan Piala Aphrodite di Greece bermula Jumaat ini bakal jadi penentu.

"Kami cuba mengelakkan diri daripada kecederaan. Jika sakit ketika latihan, kami akan berhenti tetapi sentiasa melakukan yang terbaik setiap hari.

"Saya mengharapkan aksi di Greece lebih baik berbanding kejohanan sebelum ini di Moscow. Ia adalah kejohanan pertama bagi tahun ini," ujarnya.

Paling utama adalah latihan konsisten yang perlu dilalui Izzah kerana ia adalah temasya besar untuknya selepas Sukan SEA 2017 yang turut menjadi penampilan pertamanya.

Walaupun sedar sukar untuk meraih pingat, pengalaman di Gold Coast tetap mampu memberikan pendedahan berguna kepadanya.

"Semua gimnas bagus, cuma gimnas yang tidak beraksi dengan baik akan memberi kesan kepada kutipan mata.

"Bagi saya, Wales, Great Britain, Afrika Selatan dan Kanada memiliki barisan gimnas yang bagus."