Pengalaman luas selama 23 tahun menjadi sandaran M. Iyaru untuk mempertahankan jawatan naib presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) dalam mesyuarat agung tahunannya (AGM), Sabtu ini, yang bakal menyaksikan pertembungan enam calon.

Jawatan naib presiden akan menjadi tumpuan dalam AGM KOM bagi penggal 2016-2018.

Empat calon lelaki akan merebut kerusi naib presiden dengan tiga daripada mereka terdiri daripada penyandang.

Iyaru memenangi jawatan itu sejak penggal lalu dan dilihat memiliki kelebihan mempertahankannya selepas 23 tahun bertindak sebagai setiausaha Persatuan Olahraga Perlis.

"Dalam Sukan Komanwel 1998, saya memegang peranan sebagai pengerusi skuad jalan kaki.

"Para jurulatih pada masa itu memberi kerjasama terhadap program yang ditentukan saya, sebab itulah kita berjaya meraih emas menerusi G. Saravanan.

"Dengan segala pengalaman itu, saya cuba untuk mencabar jawatan naib presiden," katanya.

Perlis adalah antara ahli gabungan KOM yang paling berjaya dalam arena olahraga sejak dua tahun lalu dengan kejayaan Abd Latif Romly dan Mohd Ridzuan Puzi meraih pingat emas Sukan Paralimpik Rio 2016.

Turut menarik perhatian, kemunculan Mohd Izzuddin Yahya yang merampas gelaran raja pecut Terbuka Malaysia, tahun lalu.

AGM KOM dijangka berjalan lancar apabila presiden, Datuk Karim Ibrahim dan timbalan presiden, Datuk SM Muthu, mengekalkan jawatan apabila tiada pencabar.