Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, tidak mahu sukan yang digugurkan daripada sukan teras terus merintih dan merayu dengan penuh kekesalan, sebaliknya menggesa persatuan sukan berkenaan segera memikirkan langkah terbaik untuk mengembalikan imej sukan masing-masing.

Khairy tegas dengan pendirian untuk tidak melayan sebarang rayuan daripada pihak persatuan sukan yang terlibat dengan pengguguran daripada sukan teras.

Satu isyarat yang serius perlu dihantar bagi memastikan setiap persatuan mampu menyediakan pelan pembangunan yang lengkap untuk menghasilkan keputusan yang positif pada masa depan.

Khairy juga tidak bersetuju dengan cadangan bekas Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Wira Mazlan Ahmad, agar pihak MSN mengambil alih perancangan pembangunan bagi ketiga-tiga sukan tersebut, sebaliknya MSN akan bertindak sebagai badan sokongan.

"Saya kena hantar isyarat kepada ibu-bapa, orang biasa dan pengikut sukan tersebut kerana langkah ini akan membawa kesan kepada pemain-pemain pelapis disebabkan tiada pembangunan yang terurus," ujar Khairy.

Penilaian semula untuk penyenaraian sukan teras akan dilaksanakan dalam tempoh dua tahun lagi.

Namun, Khairy tidak mahu persatuan berkenaan berlengah sambil menyeru satu pelan efektif perlu dilaksanakan bagi membuktikan prestasi atlet mereka.

"Ada masa sembilan bulan lagi untuk membuktikan kepada kami. Faham-faham sahajalah apa yang saya cakap itu, tidak perlulah tunggu sampai dua tahun.

"Kalau boleh buat sesuatu sekarang, kalau kita yakin, mana tahukan?" kata Khairy lagi.


16 jenis sukan dikekalkan sebagai sukan teras dalam Program MSN:

Akuatik
Badminton
Berbasikal
Bola sepak/futsal
gimnastik artistik/gimrama
Hoki
Karate
Boling padang
Memanah
Menembak
Olahraga
Pelayaran
Silat
Skuasy
Boling tenpin
Wusyu