Perebutan jawatan dalam Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) antara isu yang mendedahkan sisi negatif sukan negara sepanjang 2019 selain sikap beberapa atlet yang menjejaskan imej sebagai ikon rakyat Malaysia.

Ia bermula dengan isu melibatkan bekas jaguh karate negara, Syakilla Salni Jefry Krisnan, yang bersikap diva kerana enggan menyertai kem latihan kebangsaan susulan masalah berat badannya sebelum bertindak meninggalkan skuad negara.

Begitu juga dengan tindakan jaguh lempar cakera, Irfan Shamsuddin, yang mengkritik pegawai sukan negara secara terbuka.

Majlis Sukan Negara (MSN) mengeluarkan kos sebanyak RM125,000 untuk Irfan, namun selepas mempertahankan pingat emas dalam Sukan SEA Filipina, dia mengeluarkan komen kontroversi.

"Saya banyak mengeluarkan duit simpanan saya untuk membayar jurulatih.

"Saya masih menunggu pihak MSN untuk membayar kembali baki perbelanjaan itu kepada saya.

"YB Syed Saddiq (Syed Abdul Rahman) juga ada kata mereka akan bayar tetapi saya tidak tahu bila," katanya dalam Nadi Arena 10 Disember lalu.

Bola sepak Malaysia mengalami peningkatan yang cukup drastik sepanjang 2019, namun masih banyak yang perlu diperbaiki skuad B-22 negara.

Selain kegagalan dalam Sukan SEA, Malaysia juga perlu menerima hakikat tidak layak ke Kejohanan AFC B-23 tahun depan.

Kekecewaan sama turut dirasai skuad hoki negara.

Kemarau layak ke Sukan Olimpik sejak edisi di Sydney, Australia pada 2000 berpanjangan selepas tewas 3-9 secara agregat kepada Great Britain dalam pusingan kelayakan di London, England.

Malaysia pada awalnya dijangka mampu mencipta kejutan, namun ternyata taktikal ketua jurulatih, Roelant Oltmans, tidak cukup ampuh selain pemain terpaksa beraksi dalam cuaca sejuk.

Kekalahan itu merupakan satu tamparan hebat selepas berputih mata dalam final Sukan Asia di Indonesia, tahun lalu.

Namun, ramalan bahawa beberapa pemain senior seperti S. Kumar dan Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil akan bersara ternyata meleset.

Akhir sekali, perebutan kuasa mencerminkan sikap buruk pegawai sukan negara dalam Mesyuarat Agung Tahunan MPM dan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM).

Apa yang pasti, kita mengharapkan sukan Malaysia bangkit pada tahun 2020 kerana misinya jelas untuk menggenggam pingat emas pertama dalam Sukan Olimpik Tokyo.


Editor: Muzaffar Musa