Ketua Unit Agensi Doping Malaysia (ADAMAS), Nishel Kumar, menganggap isu atlet Malaysia yang dikaitkan dengan kes doping Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, Ogos lalu, tidak seharusnya berlaku dan amat memeranjatkan.

Nishel menjelaskan setiap atlet telah diberikan surat peringatan dua minggu sebelum temasya itu bermula dan mereka telah sedia maklum mengenai perkara itu dan akibatnya.

Hal sedemikian sepatutnya tidak berlaku, apatah lagi dengan segala program kesedaran yang telah dijalankan secara konsisten.

“Memang sebelum ini kami mengharapkan Sukan SEA kali ini bersih daripada sebarang isu doping. Lebih menyedihkan, ia melibatkan (seorang) atlet Malaysia.

“Pihak ADAMAS telah menganjurkan pelbagai program untuk membanteras masalah sebegini, salah satunya adalah Real Champion, di mana semua atlet yang terlibat dalam program Kita Juara telah diletakkan dalam beberapa siri program kesedaran,” katanya.

Nishel menyifatkan kemungkinan atlet berkenaan terlepas pandang terhadap sesetengah ubat yang diambil tanpa membuat pemeriksaan yang betul.

Namun, individu yang terlibat perlu bertanggungjawab sepenuhnya jika terbukti mengambil bahan terlarang.

“Dalam kod anti-doping dunia memang ada menyatakan atlet bertanggungjawab penuh kepada apa yang diambil. Jadi, jika atlet memberikan alasan tidak tahu, agak sukar untuk kami membantu,” katanya lagi.