Setiausaha Agung Persekutuan Silat Kebangsaan (Pesaka), Datuk Megat Zulkarnain Tan Sri Omardin, kecewa apabila rekod bersih badan induk itu tercemar ekoran kes doping atlet Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT), sementara Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) akan menjalankan siasatan segera.

Megat Zulkarnain meluahkan kekecewaan kerana ini kali pertama silat terbabit dengan kes doping.

Pesaka cukup berhati-hati dalam soal bahan terlarang, namun rekod itu tercalar juga apabila seorang pesilat yang bertanding dalam SUKIPT 2016 di Skudai, Johor, Februari lalu, dikesan positif sibutramine.

Sungguhpun atlet itu bukan bertaraf kebangsaan, namun Pesaka tetap perlu menjalankan siasatan, termasuk menjatuhkan hukuman.

"Pesaka juga terkejut kerana ini kali pertama ia melibatkan pesilat kami.

"Dengan jumlah puluhan ribu pesilat di seluruh negara, pasti kami juga terkejut dengan keputusan ini.

"Namun, kami meminta pihak berkenaan untuk menjalankan ujian sampel kedua bagi membolehkan kami menilai dan mengambil tindakan selanjutnya," katanya.

Pesilat terbabit yang sedang menuntut di sebuah kolej swasta akan turut dipanggil Pesaka, sama ada mahu ujian sampel B miliknya dianalisis atau sebaliknya.

Sementara itu, KOM juga mengesahkan sudah mendapat surat makluman daripada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Seorang atlet olahraga SUKIPT turut positif sibutramine, bahan yang biasa terdapat dalam pil menguruskan badan.

Atlet itu tidak pernah mewakili negeri atau negara, namun jika didapati bersalah, dia berdepan penggantungan empat tahun.

"Daripada sudut pandangan persatuan, kami tidak boleh menghalang ia daripada berlaku, tapi kami cuba meminimumkan kes dan memberi galakan agar tidak mengambil bahan terlarang," kata Pengerusi Jawatankuasa Perubatan KOM, Datuk Tham Siew Khai.

Kes doping SUKIPT muncul beberapa hari selepas empat atlet Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak dikesan positif doping.