Institut Sukan Negara (ISN) sedang giat merangka inisiatif bagi memastikan Malaysia mempunyai kemudahan hospital sukan seperti yang dimiliki beberapa negara maju dalam bidang sains sukan.

Ketua Pegawai Eksekutif ISN, Ahmad Faedzal Ramli, berkata pihaknya sedang mengadakan perbincangan dengan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, bagi menjayakan projek itu, yang akan mencipta perubahan dalam bidang sains sukan di negara ini.

Ketika ini, projek hospital sukan swasta berkenaan masih dalam proses untuk mendapatkan persetujuan daripada beberapa pihak, termasuk Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Unit Kerjasama Awam Swasta.

Bagaimanapun, lokasi pembinaan hospital itu masih belum dimuktamadkan dan tertakluk kepada tawaran-tawaran yang dikemukakan.

"Ia merupakan projek yang akan membawa perubahan dalam arena sains dan perubatan sukan di rantau ASEAN dan Asia.

"Projek ini masih dalam proses perbincangan dengan pemegang taruh dan mereka yang berkepentingan," katanya.

Projek hospital itu akan membawa pembaharuan dalam bidang sains sukan negara di mana ia merupakan hospital berperkhidmatan penuh dengan menjadikan fasiliti di Qatar sebagai contoh utama.

"Konsepnya berbeza kerana ia akan menjadi hospital perkhidmatan penuh dan akan menawarkan pelbagai perkhidmatan yang berkaitan," tambahnya.