ISN cadang SOP latihan

Oleh Muzaffar Musa 21 April 2020 338
ISN cadang SOP latihan
Institut Sukan Negara (ISN) menghantar cadangan prosedur operasi standard (SOP) untuk atlet kembali menjalani latihan sekiranya diluluskan untuk pertimbangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Ia selepas Ketua Pegawai Eksekutif ISN, Ahmad Faedzal Md Ramli, mengesahkan bahawa pihaknya ada menghantarkan cadangan itu kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) jika perintah kawalan pergerakan (PKP) memasuki fasa keempat.

Ketika ini, KBS sedang meneliti cadangan ISN untuk dibentangkan dalam satu mesyuarat bersama MKN.

Ia susulan tindakan beberapa negara seperti Austria, United Kingdom dan Belgium, yang mengumumkan kelonggaran untuk rakyatnya menjalani aktiviti riadah termasuk atlet berprestasi tinggi.

Majlis Sukan Negara (MSN) juga diarahkan untuk menyiapkan cadangan yang sama dengan tujuan mencari jalan terbaik buat latihan atlet.

"Yang pertama, kita perlu memastikan tempat latihan tersebut dinyah kuman dan bebas daripada bahan-bahan tercemar.

"Kemudian, perlu dipastikan bahawa semua atlet, pegawai dan anggota sokongan kami bebas daripada Covid-19 dengan melalui ujian-ujian tertentu.

"Ia bukanlah satu proses yang mudah dan saya pasti sekiranya ia dilaksanakan, ia perlu mendapatkan persetujuan bersama," katanya.

Objektif cadangan ISN itu adalah untuk membantu atlet mengekalkan prestasi terbaik.

Kumpulan sasaran utama akan membabitkan 35 atlet dalam program Road to Tokyo.

Namun, mereka perlu mengikut arahan, terutama penjarakan sosial sesama atlet dan jurulatih.

"Atlet-atlet berprestasi tinggi ini, sekiranya mereka dibenarkan untuk berlatih, mereka mestilah melalui prosedur-prosedur kesihatan yang terperinci dan teratur.

"Pusat-pusat latihan mereka juga perlu dikenal pasti dan dikhaskan supaya segala langkah keselamatan dipatuhi," tambahnya.

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen