Meskipun terpaksa bersaing dalam keadaan cuaca yang tidak menentu, atlet triathlon negara, Amran Abdul Ghani, melakar kejayaan membanggakan apabila menepati ramalan untuk muncul peserta terbaik Malaysia dalam saingan Ironman Langkawi 2016.

Sebelum bermulanya saingan, Amran sudah pun memasang impian untuk menjadi peserta terbaik Malaysia.

Biarpun ketinggalan di awal saingan, ditambah pula keadaan cuaca tidak menentu, ahli bomba berusia 36 tahun ini tetap cekal untuk mengharungi cabaran berliku di sekitar Langkawi.

Sebaik sahaja melintasi garis penamat selepas lebih 10 jam mencabar fizikal dan mental, Amran menzahirkan kesyukuran kerana berjaya mencapai sasaran peribadi.

Ini adalah kali kedua Amran berjaya muncul selaku atlet terbaik Malaysia selepas tahun 2014, iaitu kemunculan pertamanya di Ironman Langkawi.

"Angin agak kuat dan ketika berlari tadi saya terpaksa menempuh cuaca ribut, jadi ia memberi gangguan terhadap larian saya, tetapi secara keseluruhan saya amat berpuas hati," katanya.

Meskipun tidak dapat melayakkan diri ke Kejohanan Dunia Ironman yang akan berlangsung di Konaa, Hawaii pada Oktober 2017, Amran tetap bangga dengan prestasinya apabila menamatkan saingan dengan catatan 10 jam 17 minit 46 saat.

Hanya empat slot diberikan untuk setiap kategori kumpulan umur, dan Amran yang bersaing di dalam kategori umur bawah 39 tahun tidak berjaya menempatkan diri dalam kelompok itu.

"Saya tidak kecewa kerana saingan kumpulan saya sangat sukar," tambahnya.