Irfan tidak sehaluan dengan cadangan KOM 

Oleh Penulis Jemputan 12 Oktober 2018 301
 Irfan tidak sehaluan dengan cadangan KOM 
Atlet lempar cakera negara, Muhammad Irfan Shamsuddin, menyifatkan permintaan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) agar Program Podium menamatkan kontrak barisan jurulatih luar negara adalah tidak wajar tatkala dia masih memerlukan khidmat Frank Petrovic sebagai jurulatih. 

Petrovic sudah membimbing Irfan sejak enam tahun lalu dan dia tidak pernah gagal untuk memperbaharui rekod kebangsaan setiap tahun dalam mana-mana kejohanan. 

Bagi pemenang pingat emas Sukan SEA 2017 berkenaan, KOM tidak sepatutnya mencadangkan perkara sedemikian tanpa berbincang terlebih dahulu dengan atlet. 

Namun, Irfan percaya Program Podium pasti lebih tahu apa yang terbaik untuk atlet dalam menentukan masa depan jurulatih mereka. 

"Biar pihak MSN yang tentukan dan KOM cuma perlu menjalankan tanggungjawab mereka yang sebenar, sebaliknya bukan mengganggu jurulatih kami. 

"Saya percaya MSN akan buat yang terbaik dalam usaha meningkatkan prestasi atlet," katanya. 

Irfan juga meluahkan rasa tidak puas hatinya terhadap KOM yang masih belum melunaskan janji untuk membayar wang ganjaran rekod kebangsaan yang telah dilakukannya sejak 2014 hingga kini. 

"KOM memberitahu untuk mencipta rekod, ia haruslah melalui kejohanan yang diiktiraf. 

"Sekarang anda semua boleh lihat rekod dalam Persekutuan Olahraga Antarabangsa (IAAF) sama ada kejohanan yang saya sertai diiktiraf atau tidak. 

"Setahu saya, apa-apa jua kejohanan yang saya sertai semuanya diiktiraf. 

"Setiap kali mencipta rekod baru, ia akan dicatat keesokan harinya di laman IAAF," katanya.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen