Jaguh lempar cakera negara, Muhammad Irfan Shamsuddin, perlu menyediakan bukti pecah rekod kebangsaan dan pencapaian kejohanan antarabangsa untuk mendapatkan tuntutan RM24,000 menerusi skim insentif Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM).

Setakat ini, badan induk itu meluluskan RM10,000 kepada empat atlet termasuk jaguh lompat jauh, Andre Anura Anuar.

KOM mengadakan pertemuan dengan bekas presiden, Karim Ibrahim untuk meneliti tunggakan ganjaran kepada atlet negara.

Ia susulan tuntutan Irfan, Andre dan pelari pecut, Russel Alexander Nasir Taib yang berjaya memecah rekod 200m negara.

Selepas mengumpul data, KOM bersetuju meluluskan ganjaran kepada empat atlet hasil kejayaan pecah rekod kebangsaan sepanjang tahun lalu.

Cuma, Irfan dan Russel perlu menghantar dokumen lebih lengkap dalam tempoh dua bulan.

"Irfan masih lagi dalam siasatan lagi. Atlet-atlet lain telah mendapatkan kelulusan untuk diberikan wang hadiah. Perkara ini akan diselesaikan dalam tempoh dua bulan," kata Presiden KOM, Datuk SM Muthu.

"Ia merupakan suntikan buat atlet yang beraksi di pentas antarabangsa. Apa yang berlaku ketika ini adalah atlet tidak mahu mengemukan bukti serta dokumen yang diperlukan bagi meluluskan ganjaran tersebut," kata Karim.